Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun LPPKN yang ke-58, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dengan kerjasama Kelab Kakitangan LPPKN telah menganjurkan Pertandingan Boling Piala Ketua Pengarah LPPKN 2024 yang melibatkan wakil dari Bahagian, Unit dan LPPKN Negeri pada 7 Disember 2024 bertempat di Wangsa Bowl, IOI City Mall, Putrajaya. Seramai lebih 100 orang warga LPPKN khususnya ahli Kelab Kakitangan LPPKN telah menyertai program ini. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN.

Para peserta telah berjaya menamatkan permainan boling dengan 3 games, bermula dari jam 12.30 tengah hari sehingga 3.30 petang. Turut hadir ialah YBrs. En. Hairil Fadzly Md. Akir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPPKN, En. Abdul Halil Omar, Pengarah BPSM dan Pn. Nor Azizah Mamud, Pengerusi Kehormat Kelab Kakitangan LPPKN. Tahniah dan syabas kepada LPPKN Pahang yang muncul sebagai Johan, diikuti LPPKN Kedah (Naib Johan) dan LPPKN Sarawak (Ketiga). Johan telah membawa pulang trofi, hamper dan satu Piala Pusingan. Bagi peserta dengan jatuhan pin tertinggi, gelaran Raja Boling telah dianugerahkan kepada En. Muhammad Muhaimin Salam (LPPKN Pahang) manakala Ratu Boling pula dianugerahkan kepada Pn. Nurul Musfeerah Ibrahim (LPPKN Johor). Upacara penyampaian hadiah telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN di Majlis Apresiasi Nilai KASIH LPPKN 2024 di sebelah malamnya bertempat di Bizmilla Event Hall, Shaftbury Putrajaya.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dan menyertai program ini. Semoga penganjuran program ini dapat merapatkan ukhwah antara warga kerja LPPKN, selain memberi manfaat yang berguna kepada peserta dan menghidupkan budaya bersukan dan sihat dalam kehidupan seharian.

Biro Sukan & Biro Rekreasi dan Sosial