Selaras dengan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni LPPKN sempena Ramadan al Mubarak 1445H/2024M, Kelab Kakitangan LPPKN melalui kerjasama antara Biro Ekonomi, Biro Kebajikan dan Biro Kesenian dan Kebudayaan telah menganjurkan Bazar LPPKN pada 25 Mac 2024 bertempat di Lobi Bangunan LPPKN, Ibu Pejabat LPPKN, Kuala Lumpur. Selain memberi peluang dan pendedahan kepada kakitangan LPPKN untuk melakukan perniagaan dan aktiviti jual beli, penganjuran program ini juga bertujuan untuk mengumpulkan sumbangan  kepada mereka yang memerlukan disamping dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakan sekerja. 

YBrs. Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN berkesempatan untuk melawat gerai-gerai dan beramah mesra dengan staf LPPKN yang terlibat dalam program ini. Beliau juga berbesar hati menyampaikan sumbangan Ramadan Kelab kepada 16 orang ahli Kelab Kakitangan LPPKN dari Ibu Pejabat LPPKN yang mempunyai anak-anak OKU.

Jualan bazar Ramadan yang bermula pada jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang turut diserikan dengan persembahan istimewa busking oleh Band Kelab Kakitangan LPPKN. Istimewanya penganjuran bazar kali ini, Anugerah Gerai Terbaik telah diadakan dan dimenangi oleh gerai dari Bahagian Reproduksi Manusia (BRM) LPPKN, diikuti Bahagian Kesejahteraan Keluarga (BKK), LPPKN ditempat kedua. Tahniah dan syabas diucapkan.

Turut hadir bersama dalam program ini termasuklah YBrs. En. Hairil Fadzly Md Akir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPPKN, YBrs. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Yussof, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, YBrs. En. Abdul Halil Omar, Pengarah Bahagian Pengurusan Manusia (BPSM), YBrs. Pn. Rosmonaliza Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Manusia (BKK) dan YBrs. Pn. Nor Azizah Mamud, Pengerusi Kehormat Kelab Kakitangan LPPKN.

Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan pihak urus setia amat terharu dengan sambutan yang menggalakkan dari seluruh warga Ibu Pejabat LPPKN dan LPPKN WPKL. Semoga sokongan ini akan berterusan dan bertemu lagi dalam penganjuran bazar akan datang.

Biro Ekonomi, Biro Kebajikan dan Biro Kesenian dan Kebudayaan