Mesyuarat Agung Kelab Kakitangan LPPKN bagi tahun 2023 telah diadakan dengan jayanya secara hibrid pada 10 Mac 2023 (Jumaat) di Auditorium LPPKN, Tingkat 13, Ibu Pejabat LPPKN dan dalam talian (Zoom). Seramai 270 orang ahli Kelab Kakitangan LPPKN dari Ibu Pejabat dan negeri telah bersama-sama hadir ke mesyuarat ini. 

Mesyuarat dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Kehormat Kelab Kakitangan LPPKN, YBrs. Pn. Nor Azizah Mamud, diikuti pembentangan dan penerimaan Minit Mesyuarat Agung Luar Biasa Tahun 2021 oleh Setiausaha Kehormat, En. Ammar Izdihar Zainuddin, dan pembentangan program dan aktiviti Kelab Kakitangan LPPKN sepanjang tahun 2022 oleh Pengerusi-pengerusi Biro Kelab Kakitangan LPPKN.

Penyata Kewangan bagi tahun 2021 dan 2022 yang dibentangkan oleh En. Hafeez Ahmad, Bendahari Kehormat telah diterima dan disokong sebulat suara oleh ahli Kelab. Penyata Kewangan ini boleh diperoleh melalui Portal Rasmi Kelab Kakitangan LPPKN. Sebanyak 18 usul daripada ahli Kelab turut diterima dan dibahas dalam mesyuarat ini. 

Bagi pemilihan Exco Kelab Kakitangan LPPKN sesi 2023-2025, empat (4) orang Exco Tertinggi Kelab sedia ada iaitu YBrs. Pn. Nor Azizah Mamud (Pengerusi Kehormat), En. Ahmad Rasyidee Abdul Razak (Timbalan Pengerusi Kehormat), En. Ammar Izdihar Zainuddin (Setiausaha Kehormat) dan En. Hafeez Ahmad (Bendahari Kehormat) kekal di jawatan masing-masing setelah memperoleh undian tertinggi. Lima (5) orang Exco Kelab Kakitangan LPPKN lain turut kekal selain penampilan tiga (3) muka baru sebagai Exco Kelab Kakitangan LPPKN iaitu En. Abd. Qayyum Abd Jalil (Bahagian Khidmat Pengurusan), Pn. Noorhayante Mohidin (Bahagian Pengurusan Maklumat) dan En. Mohd Tirmidzi Hairi Yazid (Bahagian Kesejahteraan Keluarga).

Semoga barisan Exco Kelab Kakitangan LPPKN sesi 2023-2025 akan dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk ahli, selain mempelbagaikan penganjuran program dan aktiviti Kelab, khususnya di peringkat negeri.