Pada Disember 2021, negara telah diuji dengan banjir besar di beberapa buah negeri iaitu Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka. Selangor dan Pahang merupakan negeri yang paling terjejas. Dianggarkan kira-kira lebih 61,000 mangsa yang terkesan dengan banjir.
Beberapa daerah seperti Hulu Langat, Shah Alam, Klang, Kuala Langat di Selangor dan Mentakab, Karak, Bentong di Pahang telah dilanda banjir di luar jangkaan. Bantuan kecemasan daripada pelbagai agensi Kerajaan mula dikerah sebaik sahaja perkara ini mula menjadi serius dan mampu menjejaskan masyarakat. Pelbagai Agensi Bukan Kerajaan (NGO), Badan-badan berkaitan dan Sukarelawan turut mula terlibat dalam misi bantuan kepada mangsa banjir.
Tidak terkecuali, Kelab Kakitangan LPPKN dengan kerjasama pihak pengurusan LPPKN, Sukarelawan LPPKNMove dan LPPKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga terlibat dalam misi bantuan banjir, khususnya dalam membantu pegawai dan anggota LPPKN yang terjejas dalam kejadian banjir besar ini. Kumpulan sukarelawan ini terlibat secara langsung dalam proses pembersihan dan membantu memindahkan barangan keperluan mangsa di lokasi kejadian banjir.
Bantuan dan sumbangan berupa keperluan asas turut diserahkan kepada mangsa banjir. Seramai hampir 40 orang sukarelawan yang terlibat dalam proses pembersihan di lokasi kejadian banjir termasuklah di Shah Alam, Kuala Langat dan Bentong.
Disamping itu juga, sukarelawan LPPKN turut terlibat bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semasa menguruskan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang.
Terima kasih para sukarelawan LPPKN!
Biro Kebajikan; Biro Sosial
















