Pada 26 Oktober 2024 yang lalu, Kelab Kakitangan LPPKN melalui Biro Rekreasi dan Sosial telah menganjurkan Program Jom Ngopi@Ipoh dengan menaiki kereta api Electric Train Service (ETS) ke Bandaraya Ipoh, Perak. Selain menganjurkan aktiviti santai di Bandaraya Ipoh, program ini diadakan bagi memberi peluang kepada ahli Kelab untuk merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api ETS. Dengan kemajuan terkini, ETS kini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang selesa termasuk tandas, kafe makanan, surau selain mempunyai ruangan tempat duduk yang luas dan selesa.

Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini telah disertai seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada ahli Kelab Kakitangan LPPKN. Bermula dari stesen KL Sentral, kereta api ETS telah bertolak pada jam 8.55 pagi dan tiba di stesen Bandaraya Ipoh sekitar jam 11.30 pagi. Sejurus tiba, para peserta telah dihidangkan dengan juadah makan tengah hari dan sesi ngopi bersama di Restoran Royale Blue, Ipoh, Perak.

Selepas makan tengah hari dan sesi ngopi, para peserta bebas melakukan aktiviti bersama rakan-rakan seperti bersiar-siar dan bergambar di sekitar kawasan Bandaraya Ipoh. Antara lokasi yang menjadi pilihan ialah Concubine Lane. Disini, selain menikmati makanan tempatan yang menarik, para peserta juga berpeluang untuk bergambar dengan bangunan dan binaan lama yang menarik.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah YBrs. Pn. Nor Azizah Mamud, Pengerusi Kehormat Kelab Kakitangan LPPKN. Semoga lawatan ini mampu memberi manfaat kepada semua ahli Kelab yang terlibat dalam lawatan ini serta mengukuhkan lagi ukhwah antara ahli Kelab. Semoga berjumpa dalam program dan aktiviti akan datang.

Biro Rekreasi dan Sosial